Panduan Memilih Sistem POS: 10 Perkara Yang WAJIB Anda Tahu (Bahagian 2)
- 3 hari lalu
- 4 min membaca

Dalam Bahagian 1 panduan ini, kami telah kongsikan lima perkara pertama yang WAJIB anda pertimbangkan sebelum membeli sistem POS:
Kualiti Perkakasan
Mudah Digunakan
Keupayaan Integrasi
Laporan & Analisis Data
Kebolehan Kembang
Namun, belum selesai lagi. Ada lima lagi faktor kritikal yang menentukan sama ada anda akan menyukai sistem POS anda atau menyesal di kemudian hari.
1. Mod Luar Talian (Offline Mode)
Internet pasti akan putus suatu hari nanti. Bukan soal "kalau", tapi "bila".
Kontraktor kerjakan jalan terputus kabel fiber. Ribut menyebabkan bekalan elektrik terputus di kawasan anda. Pembekal internet anda mengalami gangguan. Semua ini memang berlaku.
Bila internet putus, perniagaan anda masih boleh berjalan atau tidak?
Apa yang anda perlu tahu:
Masih boleh terima bayaran?
Dalam mod offline, boleh keluar resit seperti biasa? Ada sistem yang simpan transaksi dulu, kemudian proses semula bila internet kembali. Ada sistem yang terus mati.
Boleh akses data pelanggan?
Jika perlu tengok akaun ahli atau sejarah pembelian pelanggan, boleh buat secara offline? Atau data tersebut hanya boleh diakses dengan internet?
Macam mana sistem bertukar?
Sistem akan detect secara automatik bila internet putus dan tukar ke mod offline? Atau kena buat secara manual? Waktu sibuk, anda nak semuanya automatik.
Bila internet kembali?
POS akan muat naik semua transaksi offline secara automatik? Atau kena sync fail secara manual? Sistem terbaik akan buat semua ini di belakang tabir tanpa anda sedar.
Soalan yang perlu ditanya:
Boleh terus buat transaksi walaupun offline?
Data apa yang saya boleh akses semasa offline?
2. Fleksibiliti Kontrak
Tiada siapa yang beli sistem POS dengan niat nak tinggalkan. Tapi kadang-kadang keadaan berubah.
Perniagaan anda berkembang ke arah yang berbeza. Perisian berhenti mendapat kemas kini. Pesaing baru tawarkan sesuatu yang anda betul-betul perlukan. Atau anda mungkin cuma tak suka sistem tersebut.
Bila hari itu tiba, boleh anda tinggalkan sistem tersebut?
Apa yang perlu anda perhatikan:
Tempoh kontrak: Anda terikat selama 1 tahun? 3 tahun? Atau bulan ke bulan? Lagi panjang kontrak, lagi susah nak tinggalkan jika berlaku masalah.
Penalti penamatan awal: Ada kontrak yang kenakan denda besar untuk penamatan awal. Baca tulisan halus. Denda ribuan ringgit boleh memerangkap anda dalam sistem yang anda benci.
Auto-pembaharuan: Adakah kontrak akan diperbaharui secara automatik untuk setahun lagi melainkan anda batalkan 60 hari lebih awal? Tandakan tarikh pembaharuan dalam kalendar anda.
Pemilikan perkakasan: Jika anda tinggalkan, adakah perkakasan itu milik anda? Atau kena pulangkan? Jika milik anda, adakah ia dikunci hanya untuk syarikat tersebut? Atau boleh guna dengan pembekal lain?
Soalan yang perlu ditanya:
Berapa tempoh kontrak minimum?
Jika saya tinggalkan sistem, perkakasan milik siapa? Boleh guna dengan syarikat lain?
3. Keserasian Industri
Ini rahsia yang ramai orang tak bincangkan: Sistem POS selalunya direka untuk industri tertentu.
Lagi dekat sistem tersebut dengan jenis perniagaan anda, lagi baik pengalaman anda.
Apa yang perlu dipertimbangkan:
Keperluan perkhidmatan (servis): Anda perlukan tempahan janji temu? Profil pelanggan? Pengurusan ahli? Komisen staf? Kedai gunting rambut, spa, dan gim mempunyai keperluan yang unik.
Keperluan runcit (retail): Anda perlukan scanner barcode? Kiraan stok mengikut saiz dan warna? Pengurusan pembekal? Runcit berbeza dengan perniagaan servis.
Keperluan restoran: Anda perlukan peta meja? Cetakan dapur? Nota tambahan (condiments)? Kalau anda menjalankan restoran, ciri-ciri ini penting.
Soalan yang perlu ditanya:
Jenis perniagaan apa yang paling kerap guna sistem anda?
Adakah sistem ini direka untuk perniagaan macam saya, atau diubah suai untuk saya?
4. Keselamatan & Pematuhan
Kebocoran data memang berlaku. Sistem POS anda mengendalikan maklumat sensitif: nama pelanggan, sejarah pembelian, dan sebagainya. Jika data tersebut dicuri, anda mungkin berdepan denda, saman, dan reputasi yang rosak selama bertahun-tahun.
Apa yang anda perlu tahu:
Kawalan akses pengguna: Boleh anda kawal siapa yang boleh akses apa? Juruwang hanya boleh proses jualan. Pengurus boleh tengok laporan dan buat refund. Pemilik perlu ada kawalan penuh. Sistem yang baik membolehkan anda tetapkan semua ini dengan mudah.
Sandaran data: Di mana data anda disimpan? Adakah ia disandarkan secara automatik? Jika perkakasan anda dicuri atau rosak, boleh anda pulihkan semuanya pada peranti baharu tanpa kehilangan sejarah jualan?
Soalan yang perlu ditanya:
Macam mana data saya disandarkan? Jika terminal saya dicuri, boleh saya pulihkan semua?
Boleh saya tetapkan kebenaran akses untuk pengguna berbeza?
5. Sokongan Pelanggan
Inilah perkara yang ramai pembeli tak fikirkan sehingga sudah terlambat.
Masalah boleh berlaku waktu sibuk, pada hujung minggu, atau ketika orang yang paling mahir dengan sistem sedang tidak bekerja.
Saat itulah anda akan tahu apa makna "sokongan" sebenarnya.
Apa yang perlu dipertimbangkan:
Waktu perkhidmatan: 24/7? Atau hanya waktu pejabat? Tanya secara spesifik tentang hujung minggu dan cuti umum.
Cara menghubungi: Telefon? WhatsApp? Email sahaja? Untuk masalah segera, anda perlu bercakap dengan manusia.
Soalan yang perlu ditanya:
Waktu sokongan pelanggan dari pukul berapa hingga pukul berapa?
Macam mana saya nak hubungi seseorang jika sistem saya bermasalah pada hujung minggu?
Senarai Semak Lengkap: 10 Perkara WAJIB
Kini anda sudah mempunyai gambaran penuh. Berikut adalah 10 perkara yang WAJIB anda pertimbangkan sebelum membeli sistem POS:
Bahagian 1:
Kualiti Perkakasan (Pilih peralatan gred komersial)
Mudah Digunakan (Pastikan staf boleh belajar dengan cepat)
Keupayaan Integrasi (Sambung dengan sistem lain yang anda guna)
Laporan & Analisis Data (Fahami data perniagaan anda)
Kebolehan Kembang (Sistem boleh membesar bersama perniagaan)
Bahagian 2:
Mod Luar Talian (Boleh sistem terus berjalan bila internet putus?)
Fleksibiliti Kontrak (Boleh tinggalkan sistem bila perlu?)
Keserasian Industri (Adakah ini direka untuk jenis perniagaan anda?)
Keselamatan & Pematuhan (Data pelanggan anda dilindungi?)
Sokongan Pelanggan (Ada orang tolong bila anda bermasalah?)
Ada soalan tentang mana-mana sepuluh perkara di atas? Hubungi pasukan kami. Kami sedia membantu anda menilai pilihan anda. Keserasian yang baik lebih penting daripada jualan cepat.






